Tuesday, November 26, 2013

Dilihat Dari Perspektif Positif...

Ujian Allah datang tidak kira masa dan ketika...

Malam tadi, aku menghadiri katibah yang telah dijadualkan. Sebenarnya, ia bermula pada jam 6.30 petang lagi. Kerana mentaati waktu yang ditetapkan maka aku hadir sekitar jam 6.29 petang tetapi pintu masih berkunci.

Agenda katibah antaranya ialah iftar jamaie, membaca al-ma'thurat, tilawah surah al-Anbiya', pengisian tentang rukun baiah at-Taah, qiamul-lail secara fardhi dan berjamaah dan bersurai sebelum solat Subuh.

Aku ditugaskan seperti biasa sebagai masul nizam...

Seusai program untuk pengukuhan rohani, aku bergerak ke Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid untuk mengerjakan solat Subuh. Aku sampai 'just on time' muazzin mengalunkan azan Subuh. Aku sempat solat 2 rakaat tahiyyatul masjid dan 2 rakaat lagi solat sunat fajar. Alhamdulillah, terasa iman yang semakin menipis mula meningkat sedikit... tetapi masih jauh berbanding rakan-rakan lain yang sibuk menjalankan dakwah baik kepada 'non-muslim' mahupun yang telah lama Islam.

Selepas mengerjakan solat Subuh, aku mula menghidupkan enjin untuk pulang ke rumah. Subhanallah... mata terasa amat mengantuk. Terdetik di hati untuk aku terus ke pejabat dan melelapkan mata di sana sementara memasuki kelas pada jam 9 nanti.

Tetapi naluri menyuruh untuk pulang ke rumah.

Aku meneruskan perjalanan untuk pulang ke Bandar Dato' Onn melalui Taman Impian Emas. Aku terlelap beberapa kali tetapi setiap kali aku tersedar aku mengucap panjang kerana Allah masih memeliharaku dari kemalangan.

Sebaik tiba di persimpangan susur jalan Kempas untuk menuju ke 'highway' ke Bandar Dato' Onn, tiba-tiba bangg...., terdengar bunyi kuat, aku tersedar dan melihat Kancilku telah melanggar sebuah kereta di depan.

Astaqfirullahal 'azim... aku telah melanggar sebuah kereta proton tepat jam 6.16am!

Aku pantas keluar dan memohon maaf dan menyatakan bahawa aku akan membayar kerosakan kepada keretanya. En. Mohamad hanya mengambil nombor telefonku kerana beliau akan ke 'workshop' untuk mendapatkan 'estimation' jumlah yang perlu aku bayar.

Beliau nampak tenang sambil menasihatiku supaya memandu dengan lebih berhati-hati sebelum berlalu pergi...

Pada petang tadi, aku telah menghantar Kancilku untuk dibaiki dan pihak bengkel telah 'estimate' bahawa kosnya ialah RM550 dan akan siap dalam masa 4-5 hari. Aku terus menelefon En. Mohamad bertanyakan berapa harus aku bayar untuk kerosakan keretanya pula.

MasyaAllah... En. Mohamad tidak ingin mengambil apa-apa gantirugi sebaliknya pula menanyaku kemana hendak dihantar anaknya ke kelas tahfiz semasa cuti?

Aku memaklumkan bahawa Sekolah Islam Hidayah ada menyediakan kepada pelajar-pelajarnya tetapi bukanlah secara intensif. Aku juga memaklumkan tentang Sekolah Tahfiz anjuran Jamaah Tabligh berdekatan dengan Sekolah Islam Hidayah.

Itulah ujian yang aku alami dan semoga ia menjadi pedoman kepada rakan-rakan agar lebih berhati-hati apabila memandu terutama apabila mengantuk. Ia BUKAN hanya membahayakan diri kita tetapi turut membahayakan diri orang lain.

Saturday, November 9, 2013

Kita Guna Apa Yang Kita Perlu

Kita selalunya mengambil berat tentang harta kita. Kita berjimat kerana kita tidak mahu berbelanja lebih dari apa yang perlu.

Sebaliknya pula, kita tidak kisah apabila ia tidak melibatkan harta atau perbelanjaan kita.

Lampu yang bernyala di rumah jika tidak digunakan terus kita tutup. Begitu juga penggunaan air, kita akan pastikan bahawa tidak ada air yang mengalir tanpa diguna. Sungguh cermat kita...

Apabila di tempat awam seperti di universiti, tandas yang airnya mengalir kerana rosak atau sebagainya sepatutnya kita berusaha untuk menutup 'main pipe'nya supaya air tidak dibazirkan sementara pihak yang berkenaan datang membaikinya.

Begitu juga lampu yang terpasang di pejabat kita, sepatutnya kita matikannya apabila kita tiada di bilik. Tapi kita biarkannya saja kerana kita fikir kita tidak membayar bil bulanannya.

Tetapi tahukah kita bil-bil di bangunan awam dibayar dengan duit cukai kita atau kita panggil 'tax payers money'!

Begitu juga apabila kita menginap di hotel, kita biarkan saja lampu, hawa dingin, TV dan sebagainya 'on' kerana kita kata kita dah bayar bilnya. Makanan pagi yang disediakan di hotelpun kita mengambil berlebihan dari kadar yang diperlukan kerana kita tidak kisah sekiranya tak habis kita tinggalkan saja.

Sedangkan jika kita mengambil langkah berjimat cermat mungkin suatu hari nanti kadar sewa hotel mungkin dapat diturunkan kerana kos penyelenggaraan, utiliti, makanan dan sebagainya sudah dapat dijimatkan. Kalaulah 'impossible' sewa hotel akan turun tetapi setidak-tidaknya pun kita mengamalkan sunah ar-Rasul supaya tidak membazir.

Sikap kita yang tidak 'environmental friendly' ini sepatutnya dibuang kerana pembaziran adalah kawan syaitan dan ia tidak membantu untuk mewujudkan 'sustainable environment' atau kehidupan yang mampan. Kita selalunya tidak ambil kisah lagi tentang penjimatan apabila kita telah membayar perkhidmatan yang diberikan. Itulah perangai kita.

Di sini bukanlah bermaksud kita perlu sentiasa tutup lampu apabila berada di hotel. Gunakanlah sehingga 24 jam sekalipun jika perlu! Tetapi jika kita tiada di bilik maka seelok-eloknya kita 'off'kannya.

Saya juga dapati sesetengah pemandu kenderaan kerajaan membiarkan saja enjin berjalan dan dia seronok tidur atau menonton video walhal kenderaan berhenti. Ini kerana dia fikir, bukan dia bayarpun bil minyak. Kalau dia yang kena bayar, saya rasa mungkin dia akan fikir 10 kali sebelum melakukannya.

Mentaliti sebegini sewajarnya dihentikan dari pengamalan kita. Itu semuanya suatu pembaziran! Cubalah kita berubah demi penjimatan wang dan harta benda negara...

Wednesday, November 6, 2013

Betapa Cantiknya Ukhuwwah Di Kalangan Ikhwah

Aku sungguh terharu... Terharu dengan pertolongan dan bantuan dari ikhwah bagi menyiapkan pembetulan tesisku.

Pertama ingin ku ucapkan jazakallahu khairan kathira kepada naqib usrahku Prof Dr Azlan Abdul Rahman yang memberiku cuti dari menghadiri sebarang program jamaah. Ucapan jazakumullah juga ditujukan kepada rakan-rakan usrahku, PM Hamidon, Dr Ustaz Marzuki, Hj Hassan, akhi Mohamad Nor, akhi Hermee dan akhi Abdul Rasyid. Doa kalian sangat kudambakan... Tidak dilupakan bantuan Dr Ustaz Marzuki yang terpaksa mengambil alih tugasku membawa usrah 02 dari bulan Oktober hingga kini.

Dan aku berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT supaya memberikan sebesar-besar ganjaran kepada PM Dr Sulaiman Mohd Nor yang tanpa jemu menyelia dan membantuku siang dan malam, sekurang-kurangnya perjumpaan berkala 3 kali seminggu begitu memotivasikan diriku. Dan yang paling ketara ialah pada hari semalam dimana beliau bersamaku dari pukul 10 pagi (Selasa) hinggalah 4 pagi hari ini (Rabu). Satu jumlah masa yang begitu lama iaitu 16 jam... Subhanallah! Jika diriku diberikan amanah ini, belum tentu aku berjaya melaksanakannya.

Pandangan dan cadangan ikhwah lain seperti PM Dr Ali Abdul Rahman, PM Dr Md Nor Bakar, Prof Dr Noor Azlan Zanzali terhadap penambahbaikan tesis amat-amat aku hargai. Tidak mampu untuk aku nukilkan dengan kata-kata...

Peranan saudara Firdaus Omar juga tidak aku perkecilkan. Kepakaran beliau membuat rajah dan jadual amat aku kagumi. Juga tidak dapat aku nisbahkan dengan kata-kata manis dengan jasa kalian semua... PM Hamidon yang begitu baik Bahasa Inggerisnya membuatku teruja apabila beliau menterjemahkan abstrak kepada abstract.

Aku terpaksa menukilkan rasa terima kasihku kepada kalian di blogku ini kerana kalian tidak ingin nama kalian terpapar dalam tesisku. Pada mulanya telah aku masukkan di bahagian penghargaan nama-nama kalian tetapi PM Dr Sulaiman meminta supaya aku tidak memasukkan nama-nama kalian. Katanya, biarlah hanya Allah SWT yang membalas jasa-jasa kami...

Walaupun keputusannya masih belum ku ketahui samaada aku lulus atau gagal tetapi aku merasakan bebanan di atas bahuku sudah ringan. Tiada lagi batu yang terpaksa aku galas ke hulu dan ke hilir...

Cuma hanya satu permintaanku kepada Mu ya Allah... Luluskanlah sekiranya ia boleh membuatku lebih dekat kepada Mu dan bermanfaat kepada agamaMu. Sesungguhnya kepada Mu aku sembah dan kepada Mu jua aku pohon pertolongan. Amin ya Rabbal 'Alamin!

Jazakumullahu khairan kathira...

Saturday, November 2, 2013

Hati Mana Tak Sayang Anak...

Dulu masa kita mula-mula bekerja, gaji kecil, kenderaan hendak dibawa ke tempat kerjapun pinjam. Nasib baik ada abang ipar yang pemurah memberi pinjam motorsikal Honda C70nya. Kalau tidak amat payah untuk ke tempat kerja, bertolak pukul 7 pagi dan sampai rumah pukul 7 petang dengan hanya gaji bulanan RM500.

Hendak menyewa rumah tidak mampu... Terpaksa bergilir-gilir samaada seminggu di rumah ibu manakala seminggu kemudian di rumah mertua. Kalau tidak digilirkan nanti terasa pula hati isteri, asyik-asyik di rumah mak mertua aje. Isteri juga ingin tinggal di rumah dimana dia 'familiar' dengan ibubapa dan adik beradiknya.

Tahun bertambah tahun. Anak juga semakin ramai. Tetapi Allah tetap dengan janjiNya bahawa rezeki setiap anak Adam dalam genggamanNya. Rezeki makin murah dikurniakanNya.

Sekarang sudah mampu sewa rumah. Kenderaanpun sudah mampu dimiliki sendiri walaupun 'second hand'.

Lama-kelamaan terasa ingin miliki rumah sendiri. Maka belilah sebuah rumah yang mempunyai 4 bilik. Anak semakin bertambah dan rumah empat bilik sudah terasa sempit kerana anak-anak sudah meningkat remaja.

Allah menambahkan lagi rezeki kerana Allah telah berfirman sesiapa yang bersyukur akan ditambahkan lagi rezeki mereka dan kepada mereka yang kufur, Allah telah mengingatkan bahawa azabnya amat pedih.

Bila ada peluang untuk membeli rumah baru yang ada tanah maka ditambah 4 lagi bilik disamping 4 bilik yang sediaada. Ingat rasa seronok kerana anak-anak masing-masing sudah ada 'privacy'.

Tetapi sekarang keadaan sudah berubah, seorang demi seorang meninggalkan rumah kerana meneruskan pengajian. Terasa rumah besar semakin sunyi...

Anak-anak yang masih ada di rumah hanya tinggal 5 orang dari 9 kesemuanya.

Ya Allah Engkau jagalah anak-anakku di luar sana. Tetap dan teguhkan hati-hati mereka di dalam Iman dan Islam. Jauhilah ujian yang tak mampu mereka tempuhi. Berikan mereka hidayah dan sentiasa istiqamah di jalanMu. Jadikan gerak geri mereka ke arah mardhatillah. Dan akhirnya kembalikan mereka kepadaMu dengan lafaz Laailaha illallah...Muhammadur Rasulullah. Semoga mereka berjaya di dunia yang fana ini dan lebih-lebih lagi berjaya di akhirat sana. Amin!