Monday, March 4, 2013

Membuat Roti Canai Resepi Bonda

Dulu masa kecil-kecil aku pernah membantu arwah bonda membuat roti canai.

Bila balik dari solat Isya' di balaisah, arwah ibupun mengambil sebuah besin atau 'jelup' dalam bahasa Kelantan.

Dimasukkan sekilo tepung gandum ke dalam jelup. Sebiji telur ayam dipecahkan dan dimasukkan ke dalam jelup bersama tepung gandum tadi. Arwah ibu mengambil satu 'jug' air masak dan dicampurkan sesudu garam. Dikacau hingga larut dalam air.

'Jug' air yang dicampur garam tadi dituang ke dalam jelup sambil tepung gandum diuli perlahan-lahan. Jangan masukkan terlampau banyak air sekali gus tetapi secara beransur-ansur sambil tepung gandum diuli.

Setelah tepung dan air sebati maka tepung tadi tidak akan lagi melekat kepada tangan atau jari. Ia akan membentuk seperti 'dough' yang sudah siap.

Proses menguli ini mungkin memakan masa selama 40 minit, bergantung kepada kekuatan kita menguli sepenuh tenaga.

Cara mengulinya ialah tepung di luar ditekan masuk ke dalam, dan begitulah diulang-ulang sehingga ia betul-betul masak.

Setelah siap ia akan menjadi seperti sebiji bola besar...

Langkah seterusnya ialah mengambil sepiring minyak sapi. Minyak sapi ini akan disapu kepada setiap bola-bola kecil yang akan dibuat nanti.

'Dough' yang sudah siap tadi diambil dan digenggam, ditolak dan dibiarkan ia keluar dari lubang yang dicantumkan antara jari telunjuk dengan ibu jari. Setiap satunya disapu dengan minyak sapi.

Hasilnya 'dough' yang sebesar sebiji bola besar tadi sekarang sudah menjadi bola-bola kecil seperti telur penyu. 'Dough' yang bersaiz kecil ini disusun di dalam jelup yang asal tadi (bagi mengurangkan penggunaan banyak besin dan menjimatkan air untuk membasuh segala peralatan yang digunakan).

Letakkan atau susunkan ia secara bertindih-tindan di antara satu sama lain. Dan bola-bola kecil ini tidak akan bercantum kerana setiap satunya sudah disapu dengan minyak sapi.

Apabila semuanya selesai, tutup jelup tadi dengan dulang. Ini untuk mengelakkan dari 'dough' kita dicerobohi oleh anasir-anasir yang tidak diingini. Dulang yang digunakan ialah dulang yang kita biasanya hidangkan lauk pauk semasa kenduri kendara. Cuma cara kita menutup jelup itu ialah dengan melungkupkan dulangnya.

Selepas solat Subuh di balaisah, arwah ibu akan mengadap jelup yang mana terdapat dulang yang terlungkup. Dulang tadi disiram bagi membuang debu-debu yang terlekat sepanjang malam dan diletakkan kembali secara terlungkup ke atas jelup.

Minyak masak disapu di atas dulang terlungkup tadi yang mana ia akan digunakan sebagai tempat menebar roti canai.

Apabila kita duduk mengadap jelup yang diatasnya terdapat dulang terbalik maka ia memberi satu kedudukan yang selesa untuk menebar roti canai.

Langkah seterusnya ialah kita panaskan dapur.

Masa arwah ibu dulu, beliau panaskan dapur minyak tanah yang mana ia boleh dibawa berhampiran dengan beliau menebar. Dengan berbuat demikian, ia senang untuk di'load' roti canai untuk digoreng.

Minyak yang digunakan untuk menggoreng roti canai pula ialah samaada minyak masak, marjerin, atau minyak sapi.

Semangkuk minyak masak diletakkan berdekatan beliau.

Apabila arwah ibu sudah bersedia untuk menebar roti, beliau akan mengangkat dulang yang menutupi jelup, dan mengambil sebiji 'dough' dan diletakkan ke atas dulang.

Kemudian empat jari kanan dicelup ke dalam minyak masak dan ditekan-tekan ke atas 'dough' supaya menjadi rata. Kelapan-lapan jari digunakan supaya 'dough' menjadi betul-betul rata dan ia mula ditebar.

Sekiranya kita tidak pandai untuk menebar maka tariklah 'dough' tadi perlahan-lahan dari pelbagai arah supaya hujungnya menuruni tapak dulang yang terlungkup itu.

Setelah semuanya sudah siap ditarik maka lipatlah roti tersebut. Jangan risau sekira ada yang terkoyak semasa proses menegangkan 'dough' tersebut sebelum ianya dilipat. Ia tidak akan menjejaskan kualiti roti canai kita.

Cuma sekiranya kita ingin meletakkan telur atau sardin maka kita mesti berhati-hati semasa menebar atau menarik 'dough' supaya ia tidak terkoyak.

Roti canai arwah ibu yang menjadi 'favourite' saya ialah apabila ia diletakkan sardin sebagai inti.

Cara menyediakan sardin untuk diletakkan ke dalam roti ialah kita membuka setin sardin dan masukkan ke dalam sebuah mangkuk (Jangan masukkan terlalu banyak kuah atau sos sardin yang berada dalam tin tersebut). Kemudian kita mayang atau hiris bawang besar atau bawang merah nipis-nipis dan masukkan ke dalam mangkuk sardin. Sekiranya kita ingin pedas maka lada merah dimayang nipis dan dimasukkan juga ke dalam mangkuk tersebut. Pecahkan sebiji telur ayam ke dalam mangkuk tersebut dan hancur-hancurkan ikannya. Gaul semuanya sehingga sebati.

Semangkuk sardin (tin besar) yang digaul dengan bawang, cili merah dan telur boleh dibuat sebanyak 10 biji roti sardin.

Apabila roti canai siap dimasak maka kita boleh menikmatinya dengan kuah kari, atau susu pekat, ataupun dengan gula pasir.

Pengalaman membuat roti canai resepi bonda ini pernah aku praktikkan semula semasa belajar di Amerika Syarikat. Itupun sudah hampir 30 tahun yang lalu.

Sekarang semuanya senang. Tidak perlu lagi menguli tepung... tetapi pergi saja membeli roti canai di kedai-kedai yang berdekatan.

1 comment:

  1. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.

    ReplyDelete