Tuesday, July 24, 2012

Tajaan Berbuka Puasa

Kita amat digalakkan untuk memberi makan kepada mereka yang berbuka puasa. "Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun". (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Alhamdulillah, Rayuan Ramadhan 1433H muncul menemui kita lagi. Kita boleh menaja berbuka puasa dan bersedekah kepada mereka yang lebih memerlukan di 14 buah negara iaitu Afghanistan, Bangladesh, Filipina, Indonesia, Iraq, Kemboja, Myanmar, Pakistan, Palestin, Sri Lanka, Sudan, Thailand, Vietnam, dan negara kita sendiri, Malaysia.


Sekretariat Rayuan Ramadhan 1433H adalah anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Aqsa Syarif. Pengalaman mereka dalam menjalankan ibadah ini sungguh lama dan tahun ini merupakan tahun yang ke-14 mereka berkecimpung membantu masyarakat yang miskin dan mereka yang kurang bernasib baik.

Pada tahun lepas, penerima sumbangan mencecah angka 100,000 orang dari 14 negara. Pada tahun ini, pihak Sekretariat Rayuan Ramadhan 1433H mensasarkan jumlah penerima seramai 200,000 orang.


Oleh itu, marilah kita sama-sama menyumbang membantu mereka yang daif, susah dan dalam kesempitan, demi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Islam dari seluruh pelusuk dunia.

RM100 bagi kita mungkin tidak sebesar mana! Tetapi percayalah, RM30 bagi mereka sudah cukup banyak untuk dibelanjakan. Mungkin ia mampu memberi mereka makan untuk seminggu.


Bagi mereka yang ingin membantu, bolehlah berhubung dengan Sekretariat Rayuan Ramadhan 1433H, Lot 300.3, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, 53100 Kuala Lumpur. Nama Akaun ialah Pertubuhan IKRAM Malaysia dan nombor akaun BIMB 1211 3010 040 182.

Mereka juga boleh dihubungi melalui no tel; +603 4108 9669/4105 3159, atau faks +603 4107 1754, atau e-mail rayuan@ramadhan-qurban.org. Website mereka boleh didapati di ramadhan-qurban.org.


Sekali lagi saya menyeru kepada diri saya dan tuan/puan untuk tidak merasa sayang atau kedekut untuk bersedekah. Walau sebanyak mana duit yang kita miliki tetapi dengan menghulurkan bantuan, ia tidak akan mengurangkan harta kita malah harta kita akan lebih berkat dan suci, insyaAllah!!!

Wednesday, July 18, 2012

Bersifat Pemurah

Dalam buku Al-Syahid Hasan Al-Banna: Pengasas Ikhwan Muslimin, muka surat 30 adalah seperti berikut;

"Suatu hari beliau membawa Amin Ismail, seorang anggota Ikhwan, menemui seorang tukang jahit. Beliau telah menyerahkan jubahnya kepada tukang jahit tersebut untuk dijahit.

Kami berjalan melalui sebuah lorong yang sempit dan gelap di kawasan al-Maghrabin. Tukang jahit itu bangun dan menyerahkan jubah Hasan al-Banna tanpa mengalu-alukan kedatangan kami. Dia terus meminta upah sebanyak tiga paun. Imam Hasan al-Banna memberinya lima paun, mengambil jubah tadi dan bersedia untuk beredar dari situ.


Terfikir Amin hendak mengambil baki wang dua paun itu tetapi Hasan al-Banna menahan saya (Amin). Sedarlah Amin bahawa Imam Hasan al-Banna tidak mahu saya mengambil baki wang dua paun itu. Dalam perjalanan pulang, kami bertemu seorang pengemis, Imam Hasan al-Banna menyuruh saya memberikan satu riyal kepada pengemis tersebut.

Baru saya tahu bahawa Imam Hasan al-Banna ada wang sebanyak lima paun saja dan kesemua wang itu telah diberikan kepada tukang jahit tadi. Kini dia tidak mempunyai wang lagi. Imam Hasan al-Banna bersifat pemurah sehingga ke akhir hayatnya."

Diceritakan pula tentang kemurahan hati siisteri Imam Hasan al-Banna yang bernama Latifah pada muka surat 37;


"Salah seorang anak al-Banna memberitahu, "Ketika ayah menceritakan hasrat jamaah untuk membangunkan pejabat pusat, ibu mengusulkan dengan tulus agar sebahagian besar perabot rumah dipindahkan ke pejabat pusat Ikhwan Muslimin. Kemudian, beberapa karpet, meja, kerusi dan perabot rumah lainnya pun dibawa ke pejabat pusat. Jelas terbayang keceriaan wajah ibundanya dalam melakukan kerja kebajikan."


Latifah sangat setia kepada suaminya dalam berbagai-bagai keadaan. Perkongsian hidup mereka telah menghasilkan enam orang anak iaitu lima orang perempuan dan seorang lelaki. Kelima-lima orang anak perempuan mereka bernama Sana', Wafa', Raja', Hajir dan Istisyhad. Yang lelaki diberi nama Ahmad Saiful Islam manakala anak perempuannya yang bongsu dinamakan Istisyhad oleh Latifah kerana dia dilahirkan ketika Imam Hasan al-Banna mati syahid."

Bagaimana dengan kita ya? Adakah kita semurah Imam Hasan al-Banna?

Beberapa Gambar Sempena Pentauliahan PALAPES Ke-31 Di UUM

Untuk tatapan mereka yang berminat tentang pentauliahan PALAPES ke-31 di UUM pada 17 Julai 2012...














Tuesday, July 17, 2012

Akhlak Al-Syahid Hasan Al-Banna

Di sini ingin saya perturunkan sedikit coretan dari buku "Al-Syahid Hasan Al-Banna: Pengasas Ikhwan Muslimin", tulisan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mohd Faisal Fadzil, keluaran DBP.

Di awal Bab 4, dinyatakan bahawa Imam Hasan al-Banna mempunyai banyak sifat dan akhlak yang mahmudah. Antaranya ialah kuat beribadah, bersifat pemurah, berfikiran luas, tawaduk dan berbudi bahasa, zuhud, tegas dan beriltizam dengan dakwah, menghormati sahabat, tetamu dan amat warak.


"....Hasan al-Banna suka bersolat dan berpuasa semenjak kecil lagi. Mereka selalu ke masjid untuk menunaikan solat Isyak. Selepas itu, beliau menghadiri majlis Tariqat Hasafiyah. Mereka beribadat di situ agak lama juga. Ketika itu, tiada seorangpun orang luar di situ. Waktu malam di situ selalunya senyap sunyi. Yang kedengaran hanyalah suara orang beribadat.

Berkali-kali Hasan al-Banna berkata, "Jika kau ingin mencapai kesempurnaan sembahlah Allah sahaja dan jauhkan daripada menyembah benda-benda lain. Jika kau mencari kebenaran, maka kau dapati setiap benda lain tidak kekal. Yang kekal hanyalah Allah."


Imam Hasan al-Banna suka kepada orang-orang yang warak dan soleh. Semenjak kecil lagi beliau suka bergaul dengan mereka.

Beliau menyatakan nikmat hidup yang sebenar boleh didapati melalui pergaulan dengan orang yang soleh. Merekalah raja, ketua dan bangsawan yang sebenar....".

Sunday, July 15, 2012

Pentauliahan PALAPES Di UUM

Pada tahun ini Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke-31 akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM). 16 IPTA yang mengambil bahagian dalam upacara ini sedang bersiap sedia menjalani latihan kawad disamping latihan menerima watikah. 16 IPTA tersebut adalah;


a) UM
b) UKM
c) USM
d) UTM
e) UPM
f) UiTM
g) UUM
h) UMS
i) UNIMAS
j) UTHM
k) UPSI
l) UNIMAP
m) UPNM
n) UMT
o) UIA
p) USIM


Pasukan USIM adalah dibawah 'strenght' UKM. Seramai 88 pegawai kadet PALAPES Darat akan ditauliahkan bagi UKM/USIM. IPT yang teramai bilangan anggota kadet yang akan ditauliahkan ialah UPNM dengan bilangan seramai 139 orang.

IPTA yang paling kecil bilangan pegawai kadet yang akan ditauliahkan ialah UMT dan UIA. Hanya 40 pegawai kadet Laut UMT dan 40 pegawai kadet Udara UIA yang bakal ditauliahkan pada 17 Julai 2012 nanti.

Pergerakan IPTA ke UUM bermula pada penghujung bulan Jun lagi dimana mereka melapor diri di UUM pada 1hb Julai 2012.


Dari 16 IPTA, hanya 3 universiti menawarkan ketiga-tiga perkhidmatan PALAPES Darat, PALAPES Laut, dan PALAPES Udara. Universiti-universiti tersebut adalah USM, UiTM, dan UUM.

UMS dan UNIMAS sahaja mempunyai perkhidmatan PALAPES Darat dan Udara. Universiti yang menawarkan perkhidmatan PALAPES Darat dan Laut pula ialah UTM, UPM, dan UM.

Pada pentauliahan kali ini, seramai 1,284 pegawai kadet dari 16 IPTA akan ditauliahkan.

Friday, July 13, 2012

Belajar Hingga Ke Peringkat Doktor Falsafah

Apabila seseorang menyambung pelajarannya hingga ke peringkat tertinggi iaitu peringkat Ijazah Doktor Falsafah, kita merasakan dia hebat. Kita kagum dan hormat kepadanya. Apa taknya? Dia membuat PhD! Bukan senang hendak membuat PhD ni dan seterusnya berjaya...

Kenapa dia menyambung pengajian sehingga ke tahap itu?

Banyak sebab kalau kita ingin menghuraikannya...


Antara sebab-sebabnya ialah;

i) Ingin menghalusi lagi (specialized) ilmu yang dipelajari.
ii) Ingin dipanggil Doktor (Dr).
iii) Terpaksa kerana arahan pihak atasan.
iv) Ingin memberi semangat kepada anak-anak.
v) Ingin ke luar negara.
vi) Ingin mendapat kemuliaan di mata masyarakat.
vii) Ingin mendapat perhatian umum apabila mengeluarkan pandangan.
viii) Sebagai modal untuk berdakwah.
ix) Untuk mendapat jawatan yang lebih tinggi.


Sungguh banyak sekali sebab-sebab yang boleh disenaraikan. Sebab-sebab ini pula kadang-kadang saling kait mengait di antara satu sama lain.

Apapun tujuan kita untuk mendapatkan PhD, saya rasa kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dengan anugerah ilmu yang dikurniakanNya. Kalau hendak dinilai ilmu yang kita ada, rasanya masih jauh dengan ilmu yang Allah sediakan. Cuba kita hayati kisah Nabi Musa bersama Khaidir di dalam surah al-Kahfi. Banyak iktibar dan ibrah yang boleh diambil dari cerita tersebut.


Sesetengah dari kita merasakan bahawa jika kita ada 'title' Dr, apabila kita bercakap dan berdakwah, masyarakat akan lebih memberi perhatian. Justeru itu, senang untuk kita berdakwah, memberi penerangan tentang Islam dan sebagainya.

Itu tanggapan kita dan tak semestinya benar. Kita dapati ramai juga mereka yang tidak ber'title' Dr tetapi boleh menyelinap masuk ke dalam masyarakat dan berceramah tentang Islam.


Kita merasakan bahawa kita bukannya mempunyai 'background' pendidikan Islam maka dengan adanya Dr, masyarakat akan lebih memberi perhatian.

Walau apapun sebab-sebab yang kita tergila-gila sangat untuk mendapatkan PhD, kita seharusnya menjadi seorang yang berjiwa lapang dan tawadhuk. Kita perlu ikut kata pepatah melayu, "Semakin berisi, semakin tunduk".

Janganlah dengan adanya PhD sebagai milik kita, kita mula memandang rendah terhadap pandangan orang lain. Jauh sekali memandang rendah kepada orang lain.


Kita mesti ingat dan sentiasa ingat tentang matlamat kewujudan kita di dunia yang fana ini iaitu menjadi hamba kepada Rabbul Jalil!

Kita juga insaf bahawa Allah meninggikan darjat orang yang berilmu beberapa darjat.

Saya perhatikan beberapa kawan saya yang memiliki PhD, malah ada yang bertaraf profesor tetapi apabila ia 'pergi', ia 'pergi' tanpa membawa apa-apa 'title'. Berbeza dengan Prof Hamka, Prof Ahmad Ibrahim dan lain-lain, nama mereka masih diabadikan sesuai dengan pengorbanan dan jasa mereka kepada Islam.


Jikalau saya perlu memberi sebab kenapa saya begitu bertungkus lumus untuk mendapatkan PhD, saya lebih rela menyatakan bahawa saya ingin menyumbang dengan lebih berkesan terhadap Islam. Saya ingin memanfaatkan ilmu yang ada demi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam, agama yang kita dokongi dan kita sayangi, insyaAllah!


Wednesday, July 11, 2012

Membuat Passport Di Pekan Rabu Tidak Sesusah Dulu

Passport merupakan satu perkara penting untuk kita ke luar negara.

Dulu pernah saya coretkan tentang betapa susahnya hendak membuat passport untuk anak. Terpaksa bertolak dari rumah sebelum Subuh untuk ke Pekan Rabu, Tampoi yang hanya memakan masa 10 hingga 15 minit. Ada yang sanggup beratur dari pukul 3 pagi, hanya untuk mendapat nombor.


Pagi tadi, saya keluar rumah pukul 7.05am. Sampai di Pejabat Imigresen Pekan Rabu dalam pukul 7.16am. Ambil borang dan perlu diisikan dulu sebelum beratur mengambil nombor. Apabila siap mengisi borang dan mengambil gambar passport segera di sana dengan harga RM12 untuk 4 keping, saya beratur untuk mengambil nombor.

Nombor yang saya dapat ialah 87. Pegawai yang bertugas menyarankan supaya saya bersarapan dulu kerana nombor yang dipanggil baru dua puluh lebih.


Sayapun ke kedai makan di aras yang sama dengan tempat mengambil nombor iaitu Aras 1. Makan mee kari dan teh tarik dengan harga RM5.40.

Selesai makan, saya masuk ke Kedai Runcit 1 Malaysia buat pertama kali di hadapan kedai makan tadi. Alhamdulillah, nampak barang-barangnyapun ok dengan harga yang berpatutan. Saya membeli 3 pek kurma dengan harga RM9.90 setiap satu. Peknya pek 1 Malaysia tetapi kurma bertangkai dari Tunisia.


Kebanyakan barangan yang dijual berjenama 1 Malaysia. Di Johor ni, katanya bilangan Kedai Rakyat 1 Malaysia akan menjadi 6 termasuk yang akan dibuka di Muar (kalau tak silap saya) pada minggu depan. Yang dah ada termasuk di Pontian dan sebagainya.

Selesai membeli di Kedai Rakyat 1 Malaysia, saya bergerak ke aras 3 untuk menunggu giliran.

Nombor saya dipanggil untuk hadir ke kaunter 7. Saya menyampaikan salam kerana melihat pegawai yang bertugas bertudung. Setelah menyerahkan dokumen, pegawai tadi bertanya saya, "Encik berasal dari Kelantan kat mana?", dalam pelat Siam.


"Kg. Palekbang, awak asal Kelate jugok ke?", tanya saya.

"Ya, dari Chabang Empat!", balasnya.

"Ooh, Chabang Empat Tok Mek Ngah", sampuk saya.

"Ya, ya...", balas pegawai tadi.

Saya menyatakan bahawa saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Tumpat dulu. Diapun bersekolah di sekolah yang sama.


"Tapi... tak sempat jumpa", balas pegawai tadi dengan nada dan reaksi yang menunjukkan bahawa perbezaan umur kami yang agak jauh.

"Tak mintak tukar balik Kelate ke?", tanya saya.

"Baru 6 tahun di sini... biar naik pangkat dulu. Kalau balik awal sangat nanti kena tukar ke luar pula", balasnya pula.

"Encik dah lama sini? Dah beli rumah? Kerja kat mana?", tanyanya bertalu-talu.


"Dah...dan saya bekerja di UTM", sambung saya lagi.

Selesai di kaunter 7, saya menunggu giliran lagi untuk membayar RM300 di kaunter 3.

Semua proses selesai lebih kurang jam 9.30am dan saya diminta untuk datang mengambil passport pada pukul 11.30am.

Itulah pengalaman baru membuat passport berbanding 2 atau 3 tahun yang lepas. Katanya jika saya ke Pejabat Imigresen Kulai, masa yang diambil untuk membuat passport adalah lebih cepat. Tetapi saya tidak pasti dimana pejabatnya...


Passport untuk ke luar negera nampaknya semakin lama semakin menepati kehendak pelanggan. Apa tidaknya, cuba bayangkan berapa ratus ribu sehari pendapatan Pejabat Imigresen ini...

Itulah passport untuk ke luar negara...

Bagaimana pula dengan passport untuk ke luar dunia ya? Bagaimana persiapan kita ya? Sudahkah kita kumpul amal sepertimana kita kumpul duit untuk ke luar negara? Amat malanglah kita jika kita ke luar dunia tanpa bekalan amal. Di sana tiada siapa yang dapat tolong kita lagi... tidak isteri... tidak juga anak menantu. Masing-masing hanya membawa bekalan masing-masing dan sibuk dengan diri masing-masing!

Ayuh, di bulan Ramadhan yang bakal menjelma kita lipat gandakan amal kita, insyaAllah!

Tuesday, July 10, 2012

Kunci 'Remote Control' Kancil

Dewasa ini tiada lagi kereta yang tidak pakai kunci 'remote control' atau nama sebenarnya 'transmitter door control' (TDC). Banyak kemudahan dengan adanya kunci sebegini. Bila tekan butang, terus keempat-empat pintu akan 'unlock' dan bila tekan sekali lagi semua pintu akan berkunci semula.

Yang menjadi masalah ialah bila (TDC) hilang atau 'malfunction'. Bila kita buka aje pintu dengan menggunakan kunci maka 'alarm' akan berbunyi!


Bagaimana untuk mematikan bunyi bising ini? Untuk kereta Kancil, dia ada butang kecil berwarna merah di bawah 'glove compartment' atau tempat simpan dokumen di tempat penumpang hadapan di sebelah pemandu. Tekan punat merah ini beberapa kali, pasti 'alarm' akan berhenti berbunyi dan barulah kenderaan boleh di'start'. Jika 'alarm' masih berbunyi, kenderaan tidak dapat dihidupkan!

TDC yang 'original' yang kita perolehi semasa membeli kereta baru dulu, lama kelamaan akan luntur baterinya. Akhirnya, TDC ini tidak berfungsi. Kita boleh meningkatkan kembali keupayaan TDC dengan menggantikannya dengan bateri baru.


Sekiranya TDC rosak maka kita boleh membeli TDC baru di kedai alat ganti cawangan Perodua dengan harga RM65. Saya ke kedai servis Perodua kerana kawan yang memaklumkan tentang penggantian TDC ini.

Sebenarnya kita juga boleh membeli TDC di kedai-kedai biasa yang menjual alat ganti dengan harga yang jauh lebih murah. Semalam saya membeli TDC baru di kedai membuat 'duplicate' kunci di Taman Universiti dengan harga RM40 sahaja. Pada tahun 2010 dulu, saya membelinya di kedai cawangan Perodua dengan harga RM65.


Kadang-kadang kita merasakan bahawa kedai cawangan atau 'franchise' Perodua menawarkan harga yang lebih murah tetapi kita silap!

Begitu juga apabila kita ingin menukar minyak enjin dan sebagainya, eloklah kita hanya ke kedai biasa dan bukan ke 'authorized dealer' kereta kita.


Lainlah jika kereta masih didalam 'warranty'. Jika kereta masih dalam 'warranty', kita jangan sekali-kali ke kedai lain. Bukan apa, takut-takut nanti dia tak nak terima kereta kita lagi kerana katanya kereta kita sudah diusik oleh mekanik luar.

Ini yang peliknya, kenapa kedai luar boleh menjual 'accessory' jenama kereta kita dengan harga lebih murah berbanding dengan 'dealer' cawangan Perodua. Sepatutnya, sebaliknya!


Saya berharap dengan sedikit pengalaman yang dikongsi bersama ini, dapat memberi pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan apabila kejadian seumpama ini berlaku. 

Sunday, July 8, 2012

Rehlah Hari Keluarga SRIH 2012

Rehlah Hari Keluarga Sekolah Rendah Islam Hidayah 2012 telah berlangsung pada 7 dan 8 Julai 2012, di Kawasan Air Terjun Kota Tinggi.

Ramai guru-guru, staf bukan akademik, dan keluarga masing-masing hadir bagi menjayakan program ini. Program ini merupakan program Hari Keluarga pertama dibawah pentadbiran Guru Besar baru SRIH, Pn Rohaida Ridzwan.


Semua keluarga yang hadir menginap di bilik penginapan atau chalet.

Program seumpama ini adalah penting bagi merapatkan ukhuwwah sesama staf SRIH dan keluarga mereka. Banyak acara yang telah dijalankan. Antaranya, 'Anak Siapakah Ini?', sukaneka, ceramah keluarga bahagia, solat berjamaah, qiamul-lail, bacaan al-ma'thurat, tadzkirah pendek, ceramah sejarah penubuhan SRIH, dan cabutan bertuah.


Hari Keluarga SRIH agak lain dari yang lain kerana pihak sekolah telah merencana sedemikian rupa supaya semua yang hadir bukan sahaja mengenal ahli keluarga yang lain tetapi kita juga diisi dengan santapan rohani disamping santapan jasmani.


Slot penceritaan tentang sejarah SRIH amat bermakna kepada guru-guru baru. Mereka dapat melihat bagaimana perkembangan pembangunan SRIH sejak 1989 sehingga sekarang. Bermula dengan 12 orang pelajar pada tahun 1989 di sebuah rumah di Taman Sri Putri sehinggalah 1,049 murid pada tahun 2012 di bangunan tersergam indah sekarang ini.


Mereka juga dapat melihat sumbangan semua yang terlibat dalam pembangunan sekolah, baik pihak Lembaga Sekolah, guru-guru, dan ibubapa. Sumbangan ibubapa dan guru-guru begitu bermakna jika kita ingin melihat sesebuah sekolah itu berjaya. Apatah lagi kepada sekolah swasta seperti SRIH ini... Sumbangan yang diberikan tidak ternilai harganya, baik sumbangan idea, tenaga, mahupun wang ringgit.



Sesiapa yang ingin menderma dan meyumbang kepada Dana Hidayah, bolehlah melawat web site hidayah; http://www.hidayah.edu.my.


Disamping sumbangan wang ringgit dari ibubapa dan individu budiman, jasa mereka yang menguruskan pembangunan Hidayah juga cukup besar. Tuan Haji Ahmadon Bakri sanggup berkorban siang malam dalam menyelia setiap pembangunan yang dijalankan.

Mereka yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola Hidayah pula terdiri dari nama-nama berikut; Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, Prof Dr Azlan Abdul Rahman, Prof Dr Mohd Azraai Kassim, Prof Dr Awaluddin bin Mohamed Shaharoun, Prof Dr Badri Abu Bakar, Prof Madya Dr Ali Abdul Rahman, Prof Dr Omar Yaakob, Prof Dr Noor Azlan Zanzali, dan Prof Madya Dr Md Nor Bakar (sekarang).


Rehlah yang pendek tetapi padat ini amat bermakna kepada semua yang hadir. Sedikit sebanyak mereka dapat berkenalan dengan ahli keluarga staf yang lain. Kepada guru-guru dan staf, mungkin mereka akan merasakan bahawa sedikit pengorbanan dan amal bakti yang dicurahkan kepada SRIH dihargai!

Walaupun kita ketahui bahawa pengorbanan mereka jauh lebih besar dan tiada upaya untuk membayar dengan wang ringgit tetapi guru-guru dan staf mengharapkan hanya kepada redha dan pampasan Allah di kemudian hari.


Kita sebagai ibubapa sewajarnya memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu mereka mendidik anak-anak kita menjadi insan yang musleh. Setidak-tidaknya, kita tidak berlengah membayar yuran sekolah! Dengan duit yuran inilah, sebahagian besarnya (90%) adalah diperuntukkan untuk gaji guru-guru dan staf.


Semoga anak-anak dari Hidayah ini pada suatu hari nanti bakal menerajui negara, insyaAllah!