Friday, December 7, 2012

Liku-Liku Kehidupan 1

Aku ingin membuat sedikit coretan tentang liku-liku kehidupan yang telah aku lalui sejak dilahirkan dan insyaAllah sehingga kini...

Tujuannya ialah banyak. Tetapi sudah pasti bukannya untuk membuka pekung di dada dan bukan pula untuk membangga diri.


Mungkin ada yang membacanya dikalangan saudara maraku yang telah terputus hubungan dan bolehlah kita menyambung semula tali persaudaraan. Mungkin juga yang membacanya dikalangan anak-anakku yang boleh menjadi tauladan dan pengajaran buat mereka. Mungkin juga yang membacanya dikalangan rakan-rakan sekolahku yang sekian lama ditinggalkan maka bolehlah disambung semula persahabatan kita.

Baiklah. Untuk siri yang pertama ini, ingin ku kisahkan tentang kehidupan yang aku lalui sejak dilahirkan sehinggalah ke peringkat tadika. Fasa ini memang susah untuk kita 'retrieve' dari memori kad kerana ia sudah hampir setengah abad berlalu. Apapun aku cuba setakat yang terdaya...


Aku dilahirkan di Kampung Palekbang oleh ibunda yang tercinta, arwah Hajjah Che Zainab Haji Che Hussin, hasil perkongsian hidupnya dengan arwah Haji Wan Ismail Haji Wan Mohd Salleh tanggal 1 September 1964.

Apa yang aku ingat ialah pada suatu hari begitu ramai orang berada di atas rumah nenekku. Rumah nenekku, Hajjah Che Esah binti Awang Latif, hanya 3 depa di sebelah rumahku. Pada ketika itu, datukku sebelah ibu, Haji Che Hussin pergi menemui Allah buat selama-lamanya. Aku kira peristiwa ini belaku sekitar tahun 1960an.


Walaupun nama datukku Che Hussin tetapi aku masih ingat bahawa nama yang dipanggil oleh orang ramai ialah 'Ya'. Nama nenek (Che Esah) pula dikenali sebagai Mak Teh.

Mereka berdua (datuk dan nenek) telah membina madrasah atau balaisah (panggilan orang Kelantan untuk surau) dan disambungkan ke rumah mereka. Di sinilah segala aktiviti keagamaan dilakukan. Solat waktu dijalankan bagi kelima-lima waktu, disamping majlis ilmu yang dilakukan pada saban malam dan sesi mengajar al-Quran juga diadakan.


Sesi mengaji yang diajar oleh Mak Teh ialah pagi dan petang. Pagi untuk anak-anak yang bersekolah petang dan petang untuk mereka yang bersekolah pagi.

Balaisah di Kg Palekbang pada masa itu hanya ada 2 iaitu satu kepunyaan datuk dan nenekku di sebelah hilir kampung dan satu lagi di tepi jalan besar iaitu Balaisah Hj Nik Man.

Mak Teh atau panggilan manjaku padanya 'Mek' merupakan guru al-Quran yang disegani. Semua orang kampung menghantar anak-anak mereka mengaji dengannya.


Saat yang paling aku seronok ialah bila ada mereka yang khatam al-Quran. Bila ada yang khatam maka ibu mereka akan membawa pulut kuning ke balaisah untuk dimakan bersama oleh rakan-rakan mengaji yang lain.

Bila pulut sampai, maka Mek akan sibut mengait daun pisang 'gala' di sebelah rumahnya untuk meletakkan segenggam pulut kuning beserta lauk bagi setiap muridnya. Lauknya terdiri dari gulai udang, ikan, ataupun telor. Daun pisang 'gala' sangat elok untuk tujuan membungkus kerana daunnya lebar dan susah koyak. Tetapi pisangnya kita tidak makan kerana dipenuhi dengan biji.


Semua yang mengaji dikehendaki mengambil sebaldi air dari perigi di belakang rumah Mek untuk diisi ke dalam tempayan di tangga bagi tujuan membasuh kaki sebelum naik ke atas balaisah. Jika tempayan sudah penuh maka air akan dituangkan ke dalam kolah untuk tujuan mengambil air sembahyang oleh para jamaah nanti. Inilah perkara rutin yang dilakukan oleh setiap murid apabila datang mengaji.

Air perigi diambil dengan menggunakan timba yang diikat tali. Aku pasti budak-budak sekarang tak reti untuk memasukkan air ke dalam timba. Apatah lagi untuk membawa naik air ke atas. Untuk memasukkan air ke dalam timba, ia memerlukan 'skill' iaitu kita perlu menyendeng atau menyengetkan timba. Setelah air mula masuk maka dengan sendirinya timba akan penuh dan tenggelam. Kemudian barulah kita menarik tali naik ke atas.


Masalah menggunakan timba ialah kadang-kadang kita terlepas hujung talinya dan timba terjatuh ke dalam telaga. Jika timba itu dibuat dari tin susu atau tin milo maka ia akan tenggelam ke dasar telaga. Maka proses mengait atau mendapatkannya kembali perlu dilakukan. Bagi sesetengah orang, mereka membuat timba dari bekas tong minyak pelincir. Dengan cara ini, timba tidak akan tenggelam kerana ia adalah dari plastik dan amat mudah untuk dikaitkan naik ke atas.

Setelah itu, mereka akan naik ke atas balaisah dan mula mentadarus al-Quran. Murid perempuan akan duduk di tempat solat perempuan dan murid lelaki akan duduk di tempat solat lelaki. Walaupun Mek berada di dapur rumahnya tetapi beliau sangat peka apabila murid-muridnya salah membaca ayat-ayat suci al-Quran. Deria pendengarannya sungguh tajam dan beliau akan menegurnya dari jauh.


Perangai murid-muridpun agak berbeza dan pelbagai. Ada yang suka membaca al-Quran, ada yang hanya sibuk berborak, dan ada juga yang membawa mainan untuk bermain. Mainan ini bukanlah mainan yang canggih-canggih seperti sekarang. Ada yang membawa biji getah (orang Kelantan panggil buah getah) untuk melagakannya. Ada yang membawa getah urat (rubber band) untuk bermain dan sebagainya.

Bagaimana melagakan biji getah ya? Aku pasti budak-budak sekarang tidak tahu tentang mainan ini...

Setelah sejam atau 2 jam, barulah Mek akan turun ke balaisah untuk mendengar bacaan setiap muridnya. Biasanya 2 orang sekali masuk membaca al-Quran di depan Mek. Masa inilah Mek akan tegur salah dan silap bacaan setiap murid secara terperinci. Kepada yang rajin membuat tadarus maka lancarlah bacaan mereka dan dialih ke muka surat seterus untuk keesokan harinya. Kepada yang asyik bermain maka tergagap-gagaplah bacaannya di depan Mek.


Aku belajar tadika di kampung sebelah iaitu di Kg. Laut. Dan guru yang mengajarnya ialah Cikgu Kamariah, sepupu ibuku.

Cikgu Kamariah ialah anak Pak Man (Abdul Rahman bin Awang Latif) dan isterinya, Tok Cik Yam. Pak Man ialah adik kepada Mek dan rumah mereka hanya selang sebuah rumah dari rumah Mek. Di sebelah kanan rumah Mek ialah rumahku manakala di sebelah kirinya pula ialah rumah Tok Su, iaitu adik bongsu Mek. Seorang lagi adik Mek ialah Tok Ngah (Awang Lah bin Awang Latif). Rumah Tok Ngah agak jauh tapi taklah terlalu jauh dari rumah Mek, hanya jarak kira-kira 500 meter sahaja. Kesemua adik beradik Mek juga telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin!


Rata-ratanya adik beradik Mek dan iparnya mempunyai keistimewaan masing-masing. Tok Cik Yam kepakarannya ialah berbidan, menyunatkan anak perempuan, dan memandikan jenazah. Begitu juga isteri Tok Ngah, yang kami panggil Tok Ngah Tino, pakar dalam perbidanan, mengurut dan memandikan mayat.

Tok Ngah lelaki adalah seorang yang 'regular' mengumandangkan azan Subuh di balaisah Mek. Azan Subuh Tok Ngah lain dari yang lain iaitu ia didahului dengan bacaan Surah al-Israa', ayat 110-111, yang selalu kita baca dalam al-Ma'thurat. "Qulid 'ullaha awid 'urrahman....". Sejak aku mengenali al-Ma'thurat baru aku tahu apa yang Tok Ngah baca sebelum azan Subuh, iaitu setelah sekian lama Tok Ngah meninggalkan dunia yang fana ini.


Maksudnya, Katakanlah: Serulah Allah atau serulah Ar Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru. Dia mempunyai al asmaa ul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu. Dan katakanlah: Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaanNya dan tidak mempunyai penolong (untuk menjagaNya) dari kehinaan dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

Aku mengenali semua adik-beradik Mek yang hidup, dikhabarkan ada juga yang meninggal dunia semasa lahir. Adik beradik datukku (suami Mek) hanya seorang yang aku kenali iaitu Tok Su Him yang tinggal di Tumpat.

Satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan semasa di tadika ialah aku pernah melihat tahi cicak di dalam baldi air sirap yang kami minum. Murid-murid tadika disediakan dengan minuman sirap dan biskut...

2 comments:

  1. Seronok baca blog encik. Macam2 cerita ada. Banyak pengalaman, pendapat, saya boleh ambil iktibar. Teruskan update blog, encik!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana memberi semangat untuk terus menulis. Tujuannya hanya untuk 'share' pengalaman. Kalau ada yang baik ambillah sebagai tauladan & yang tak baik tu buatlah sebagai sempadan.

    ReplyDelete