Wednesday, July 18, 2012

Bersifat Pemurah

Dalam buku Al-Syahid Hasan Al-Banna: Pengasas Ikhwan Muslimin, muka surat 30 adalah seperti berikut;

"Suatu hari beliau membawa Amin Ismail, seorang anggota Ikhwan, menemui seorang tukang jahit. Beliau telah menyerahkan jubahnya kepada tukang jahit tersebut untuk dijahit.

Kami berjalan melalui sebuah lorong yang sempit dan gelap di kawasan al-Maghrabin. Tukang jahit itu bangun dan menyerahkan jubah Hasan al-Banna tanpa mengalu-alukan kedatangan kami. Dia terus meminta upah sebanyak tiga paun. Imam Hasan al-Banna memberinya lima paun, mengambil jubah tadi dan bersedia untuk beredar dari situ.


Terfikir Amin hendak mengambil baki wang dua paun itu tetapi Hasan al-Banna menahan saya (Amin). Sedarlah Amin bahawa Imam Hasan al-Banna tidak mahu saya mengambil baki wang dua paun itu. Dalam perjalanan pulang, kami bertemu seorang pengemis, Imam Hasan al-Banna menyuruh saya memberikan satu riyal kepada pengemis tersebut.

Baru saya tahu bahawa Imam Hasan al-Banna ada wang sebanyak lima paun saja dan kesemua wang itu telah diberikan kepada tukang jahit tadi. Kini dia tidak mempunyai wang lagi. Imam Hasan al-Banna bersifat pemurah sehingga ke akhir hayatnya."

Diceritakan pula tentang kemurahan hati siisteri Imam Hasan al-Banna yang bernama Latifah pada muka surat 37;


"Salah seorang anak al-Banna memberitahu, "Ketika ayah menceritakan hasrat jamaah untuk membangunkan pejabat pusat, ibu mengusulkan dengan tulus agar sebahagian besar perabot rumah dipindahkan ke pejabat pusat Ikhwan Muslimin. Kemudian, beberapa karpet, meja, kerusi dan perabot rumah lainnya pun dibawa ke pejabat pusat. Jelas terbayang keceriaan wajah ibundanya dalam melakukan kerja kebajikan."


Latifah sangat setia kepada suaminya dalam berbagai-bagai keadaan. Perkongsian hidup mereka telah menghasilkan enam orang anak iaitu lima orang perempuan dan seorang lelaki. Kelima-lima orang anak perempuan mereka bernama Sana', Wafa', Raja', Hajir dan Istisyhad. Yang lelaki diberi nama Ahmad Saiful Islam manakala anak perempuannya yang bongsu dinamakan Istisyhad oleh Latifah kerana dia dilahirkan ketika Imam Hasan al-Banna mati syahid."

Bagaimana dengan kita ya? Adakah kita semurah Imam Hasan al-Banna?

No comments:

Post a Comment