Thursday, March 29, 2012

Gembira Dalam Duka...

Ramai yang seronok dan berterima kasih kepada pihak kerajaan. Budak-budak sekolah seronok dapat duit RM100 seorang. Pelajar-pelajar IPT bergembira dapat baucer RM200 untuk beli buku. Keluarga berpendapatan rendah (RM3,000 ke bawah) bersyukur kerana mendapat RM500, yang dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia. Sekolah-sekolah Cina, sekolah agama, sekolah masyarakat india dan lain-lain, masing-masing mendapat peruntukan yang agak lumayan kebelakangan ini.

Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif, seolah-olah negara kita mempunyai satu kerajaan yang prihatin rakyat atau kerajaan berkebajikan. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama ditolongnya. Langkah ini amat kena dengan slogan "Rakyat didahulukan atau diutamakan!"

Ini tidak termasuk lagi penambahbaikan sistem SSM yang menggantikan SBPA. Kakitangan kerajaan akan sangat-sangat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri diatas usaha beliau yang nampak cuba untuk meningkatkan gaji golongan bawahan supaya polarisasi di antara golongan atasan dan bawahan tidak semakan ketara.

Penegasan pihak kerajaan tentang kenaikan harga minyak petrol tidak akan berlaku dalam tahun ini menambahkan lagi kegembiraan dan kegirangan hati rakyat.

Pada pandangan saya, apa yang dilaksanakan pihak kerajaan adalah baik, cuma ia akan memberi impak negatif kepada kehidupan masyarakat khasnya kepada mereka yang berada di luar-luar bandar.

Saya takut masyakat kita gembira dalam duka!

Masing-masing seronok dengan habuan yang diterima tetapi wang yang perlu dibelanjakan semakin meningkat. Pergi ke pasar dengan nilaian RM100 sudah tidak mencukupi. Harga ikan naik, begitu juga sotong dan udang. Harga ayam dan daging juga meningkat. Kalau dulu, buah jambu batu hanya RM1.50 hingga RM2 sekilo tetapi sekarang RM3 sekilo. Pisang emas, pisang berangan, dan pisang rastali, dulu hanya RM1.20 hingga RM1.80 saja, tetapi sekarang paling kurang harga pisang RM2.50 sekilo.

Pada hemat saya, pemberian dari kerajaan hanya akan menaikkan harga barangan dan meningkatkan inflasi.


Sepatutnya, pemberian yang melibatkan perbelanjaan yang berbillion-billion RM itu disalurkan kepada menurunkan harga minyak dan perbelanjaan utiliti yang lain seperti bil elektrik dan air. Inilah antara yang menentukan turun naiknya harga barangan.

Tidak dinafikan kos barangan meningkat disebabkan oleh kos pembuatan, pemprosesan, dan pengagihan barangan. Sekiranya kos petrol dikurangkan seminima yang mungkin sudah pasti barangan mentah yang dihantar ke kilang dapat dikurangkan dan seterusnya barangan siap dapat dipasarkan dengan harga yang murah.

Apatah lagi jika kos elektrik dan air yang digunakan di kebanyakan industri diturunkan juga seminima yang mungkin maka harga barangan akan menjadi bertambah murah!

Mungkin ada yang menyatakan bahawa jika harga petrol diturunkan maka kebanyakan kenderaan asing seperti Singapura dan Thailand akan berpusu-pusu mengambil peluang untuk mengisi minyak di negara kita. Pada saya, isu ini adalah perkara kecil kerana kita boleh membuat peraturan dimana kenderaan yang masuk ke negara kita dikenakan duti yang lebih tinggi. Setidak-tidaknya, pertambahan cukai masuk dapat menampung penggunaan minyak subsidi kita oleh mereka. Satu lagi alternatif yang boleh dilakukan ialah semua kenderaan plat luar negara dikenakan harga minyak yang berbeda.

Bagi membenteras aktiviti penyeludupan minyak petrol ke Thailand misalnya, kita sepatutnya menempatkan lebih ramai pihak berkuasa yang mengawal laluan tikus. Jika tidak mencukupi, kita boleh mengerahkan pihak askar mahupun RELA bagi membantu mereka.

Apa yang penting bagi saya ialah rakyat jelata menikmati kesenangan hidup secara mutlak dan berpanjangan. Bukan hanya memberi sesuatu tetapi akibat dari pemberian itu akan menyusahkan lagi mereka dan menguntungkan pihak yang ketiga iaitu para peniaga yang cuba menangguk di air keruh.

Dengan kata lain, gaji atau pemberian yang diterima hanya dua tiga ringgit tetapi kos barangan meningkat berlipat kali ganda. Akhirnya siapa yang untung? Sudah pasti golongan peniaga... yang rata-ratanya mereka yang bukan seagama dengan kita…

Wednesday, March 28, 2012

Abang Mendapat 7A...

Setiap kali keputusan peperiksaan besar keluar, abah dan ummi tidak ketinggalan merasai debaran. Anak-anak rasanya lebih lagi...

Ibubapa hanya menerima keputusan dengan redha. Tidak kisah sama ada seseorang anak itu berjaya dengan cemerlang atau sekadar cukup makan. Anak itu masih anak kami.

Tetapi apa yang yang penting ialah usaha. Allah SWT dengan pastinya akan menganugerahkan keputusan setakat mana usaha individu tersebut. Kalau kita merasai bahawa usaha kita sudah mencapai tahap maksima maka disusuli pula dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT, apa yang lahir selepas itu atau keputusan yang sebagaimanapun keluar maka kita akan merasai puas. We have done our best!

Dalam menerima keputusan abang tempohari di Dewan Qadisiyah, aku bersyukur dengan apa yang dicapai. Abang hanya berjaya mendapat 7A, 1B dan 3C. Sudah pasti aku begitu terharu dengan kawan-kawannya yang memperolehi 11A dan 10A. Allah SWT mengganjari rakan-rakannya yang lain berkat usaha dan doa mereka dan kedua ibubapa mereka.

Setakat 3 orang yang melepasi SPM, Kak Longlah yang paling cemerlang diantara anak-anakku. Kak Long mendapat 9A1, 3A2, dan 1B. Kak Ngah pula mendapat 8A dan 5B.

Di peringkat PMR pula kesemua mereka iaitu Kak Long, Kak Ngah, Abang, dan Achik mendapat 9A.

Walau apapun, aku tetap bersyukur kepada Allah SWT dengan anugerah yang tidak terhingga ini. Jika ingin dibandingkan dengan amalanku kepadaMu dengan apa yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, terasa amat jauh dan kerdilnya diri ini, ya Allah!

Alhamdulillah...

Tetapi ingatlah wahai anak-anakku, matlamat utama abah dan ummi membesarkan kamu ialah untuk kamu menjadi insan yang soleh dan solehah. Menjadi insan yang menyejukkan mata kedua orang tua yang memandang...

Abang yang merupakan anak lelaki pertama abah... Teruskan perjuangan untuk mencapai cita-citamu. Untuk mewarisi para anbiya' bukannya mudah. Tetapi kata orang, jika di situ ada kemahuan maka insyaAllah akan dibuka jalannya.

Yang terpenting sekali ialah niat yang betul. Pastikan bukan untuk menjadi seorang yang tersohor di mata manusia tetapi menjadi insan ternama di sisiNya. InsyaAllah, jika Allah suka kepada kita maka manusia jiga sayang kepada kita...

Anak-anak yang selalu mendoakan kepada ummi dan abah adalah anak-anak yang cukup istimewa pada pandangan abah!

Friday, March 23, 2012

Kehidupan Dunia Dari Perspektif Al-Quran

Kita dari kecil sudah diajar supaya belajar rajin-rajin agar pandai, kemudian dapat kerja yang baik-baik, mendapat gaji lumayan, rumah yang besar, kereta yang mewah, isteri yang cantik dan seterusnya menyara kehidupan anak isteri tanpa mendapat banyak kerenah. Seolah-olah itulah matlamat hidup kita.

Tentang kehidupan yang sesudah alam dunia ini tidak begitu diperkatakan. Banyak sebabnya tidak dibicarakan kehidupan selepas mati. Pertama, masing-masing tidak nampak kehidupan sesudah alam dunia ini. Tiada seorangpun yang telah mati kembali ke dunia dan menceritakan keadaan mereka di sana. Kita terkesan dengan apa yang nampak! Rumah 'bungalow', kereta Mercedes, jam Rolex, dan pelbagai barangan berjenama lagi menjadi idaman dan keinginan setiap anak kita.


Apa ada dengan syurga? Kita belum melihat syurga... Kita belum melihat bidadari... Kita belum melihat jua merasai makanan dan minuman syurga...

Walau apapun tanggapan kita tentang hari akhirat, Allah SWT telah menjelaskannya kepada kita sejak lebih 1400 tahun dulu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak." (At Taubah: 38)

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Al-Ankabut: 64)


"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Al-Hadid: 20)

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya." (Al-Kahfi: 7)

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" (Al-Mulk: 2)


"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (Al-An'am: 32)

"Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?" (Al-Qasas: 60)

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang reda (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. (7) Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Yunus: 8)


"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. (15) Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan." (Hud: 16)

"Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat." (Al-Rum: 7)

Begitu banyak sekali peringatan Allah SWT tentang kehidupan duniawi dan dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi (ukhrawi). Tetapi kita masih merasa sangsi ataupun tidak termotivasi untuk mengejar kehidupan akhirat.

Kadang-kadang kita merasakan akhirat masih nun jauh di sana. Kejar kebendaan dulu! Tetapi bolehkah kita mempastikan bahawa kita masih punyai nyawa yang panjang untuk beramal kemudiannya sebagai bekalan hari akhirat?

Dalam hadis riwayat Muslim, al-Mustaurad bin Syadad berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; "Demi Allah, bandingan kehidupan dunia ini dengan kehidupan akhirat cumalah seperti air yang lekat di jari seseorang kamu yang telah mencelupkan tangannya ke dalam lautan."

Dan hadis riwayat Muslim dalam tajuk zuhud, Baginda Rasulullah SAW berdoa; "Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad ini hanya sekadar cukup makan sahaja."

Jadi apa tujuan penulisan ini dibuat? Tujuannya ialah supaya kita sentiasa mengingati kehidupan sesudah kehidupan dunia. Di sana kehidupannya berkekalan! Tiada lagi kematian sesudah itu...

Perlu tinggalkah kemewahan keduniaan keseluruhannya? Tidak! Sama sekali tidak! Carilah kekayaan tetapi dengan cara halal... Carilah kekayaan tetapi hulurkan bantuan yang mencurah-curah kepada mereka yang miskin dan perlu. Carilah kekayaan tetapi jangan sekali-kali abaikan tanggungjawab kita kepada Allah; solat, puasa, zakat, ibadah haji, dan sebagainya.

Jadikanlah kehidupan di dunia ini sebagai medan untuk kita mengumpul modal, dari segi pahalanya untuk kita raih kehidupan yang bahagia di akhirat kelak, insyaAllah.

Rasulullah SAW pernah bersabda;

"Apalah yang boleh aku lakukan dengan dunia ini. Bandingan aku dengan dunia ini cumalah laksana seorang pengembara yang bernaung sebentar di bawah sepohon pokok, setelah itu ia meninggalkan pokok itu untuk meneruskan semula perjalanan." (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Wednesday, March 14, 2012

Tertipu Dengan Iklan Di Kedai Petronas

Kita ternampak gambar pekerja Petronas menyongsong tong gas dengan menggunakan alat pengangkut tong terpampang di cermin Kedai Stesen Minyak Petronas Taman U. Gambar iklan ini sudah lama tetapi saya masih belum berkesempatan untuk datang membeli atau mendapatkan perkhidmatannya.

Apabila tong gas kosong, sama ada kita pergi beli di kedai runcit atau kita menelefon kedai runcit untuk menghantarkan gas ke rumah.

Hari itu sekali kita pernah datang ke kedai Petronas. Kita bawa tong gas dan maklumkan bahawa kita hendak beli gas. "Oh... malam kita tak jual", balas pekerja di kaunter. Dalam perjalanan balik, kita belilah di kedai runcit mamak...

Semalam kita pergi lagi ke Stesen Minyak Petronas Taman U dengan membawa tong gas kosong.

Andaian-andaian dalam kepala ialah mesti harga gas petronas yang dijual di stesen minyak Petronas lebih murah. Brand dia sendiri, mesti murah! Lepas tu, dia jual sendiri pulak tu, mesti murah punya! At least murah seringgit duapun jadilah...

Sekarang dalam keadaan barangan semua naik harga, kita sedaya upaya mencari tempat yang boleh dijimatkan dua tiga puluh senpun jadilah...

Kitapun mengisi borang untuk membeli gas memasak di kaunter. Nama, alamat, dan nombor telefon dicatitkan dalam borang. Yang lain-lain hanya ditanda oleh pekerja kedai Petronas tersebut. Dan harganya RM31.50 dibayarkan termasuk (RM1.50) kos penghantaran.

Kita cakap tak payah hantar kerana kita dah bawa tong kosong dan kita akan bawa balik aje yang berisi.

"Tak... tak... Pakcik balik dan dalam masa 15 minit, tong gas sampai", jelas pekerja kedai Petronas.

Akupun pulang dengan membawa balik tong gas kosong. Dalam setengah jam, seorang pekerja India datang dengan motosikal membawa tong gas.

Pekerja India ini meminta duit sebagai bayaran gas tersebut. Aku memaklumkan bahawa aku sudah bayar di Kedai Petronas.

Sekarang baru aku faham bagaimana Kedai Petronas membuat duit atas angin. Kedai Petronas caj aku RM31.50 yang mana aku perlu mengisi borang, dan sebagainya. Kemudian pekerja Kedai Petronas menelefon mana-mana kedai runcit untuk menghantar tong gas ke rumahku.

Kalau aku sendiri memesan kepada kedai runcit secara terus, aku hanya bayar RM28. Untuk itu, aku tolong bantu Kedai Petronas sebanyak RM3.50.

Aku merasakan inilah cara yang bijak dan terbaik untuk memeras duit orang lain. Syabas Stesen Minyak Petronas!

Kalau boleh fikirkan lagi idea-idea yang mengarut seperti ini...

Tuesday, March 13, 2012

Pak Haji Ibrahim Meninggal Dunia

Aku mendapat sms dari rakan seusrah akh Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa bapa mertua akh Hassan Hushin iaitu bapa ukti Zalilah (zaujah Hassan) baru meninggal dunia. Rasanya sms itu aku perolehi lebih kurang pukul 6 petang semalam.

Aku memaklumkan kepada isteri dan kami bersetuju untuk ke rumah Hassan selepas Maghrib. Sesampai aku di rumah Hassan, akh Tholudin, akh Shaharuddin, dan akh Roslan sudah ada di sana, di samping ahli keluarga mereka yang terdekat. Kami, masing-masing membaca ayat suci al-Quran buat hadiah kepada roh Pak Haji Ibrahim, yang mana jasadnya terbujur kaku berhampiran pintu masuk.


Apabila azan Isya' dilaungkan, kami bertolak ke surau untuk menunaikan solat fardhu Isya'. Di surau, bilal mengumumkan tentang berita kematian ini. Semua ahli jamaah dijemput untuk menghadiri majlis tahlil selepas solat Isya' di rumah Hassan. Beliau juga turut mengumumkan bahawa jenazah akan dimandikan di surau ini pada pukul 8.30 pagi esok dan akan dikebumikan di kawasan perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru pada jam 11 pagi.

Aku sempat bersalaman dengan arwah Pak Haji Ibrahim semasa menghadiri usrah di rumah Hassan pada 2 minggu yang lalu. Itulah kali pertama dan terakhir, aku bersalam dengan beliau.


Pada pandanganku, Allah telah mengaturkan pemergian Pak Haji Ibrahim dengan baik sekali. Pada minggu lepas, akh Hassan bersama zaujah telah berangkat ke Mesir bagi meraikan anak tersayang, Nadia, konvokesyen dalam bidang perubatan. Nadia telah berjaya cemerlang dengan mendapat keputusan Jayyid Jiddan!

Balik dari Mesir, Hassan berangkat pula ke Indonesia bagi urusan anaknya yang seorang lagi.


Alhamdulillah, semasa Pak Haji Ibrahim menyahut seruan Illahi, akh Hassan dan isteri ada bersama.

Pagi tadi, aku, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir telah ke surau Taman Mutiara Rini bagi menunaikan solat jenazah buat almarhum. Semoga roh almarhum Pak Haji Ibrahim aman di sana.... insyaAllah.

Sunday, March 11, 2012

Al-Qanaah - Tajuk Pengisian Katibah Pada 7 Mac

Pengisian Katibah pada 7 Mac lalu dibuat oleh Ustaz Mahmood Kassim. Tajuk yang diulas oleh ustaz ialah berkenaan al-Qanaah.

Apa itu al-Qanaah? Al-Qanaah bermaksud redha dan rela menerima apa saja pemberian dari Allah SWT.

Al-Qanaah mengandungi 5 perkara;
i) Menerima dengan rela akan apa yang ada.
ii) Memohon kepada Tuhan tambahan yang pantas dan berusaha.
iii) Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
iv) Bertawakkal kepada Tuhan.
v) Tidak tertarik kepada tipu daya dunia.
(Tasauf Moden, HAMKA)


Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (36) Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (37) (Surah Al-Hajj)

Apa yang diucapkan tidaklah sesenang untuk dicapai. Hati kita begitu penting berperanan supaya sifat qanaah ini dapat kita garap dengan tenang. Dengan kata lain, kita sekali-kali tidak meminta tetapi sekiranya ia diberikan kepada kita maka janganlah pula kita tolak!


Beberapa usaha atau cara bagi mencapai Qanaah adalah;

a) Memperkuatkan keimanan kepada Allah SWT.
b) Yakin bahawa rezeki telah tertulis.
c) Memikirkan ayat-ayat Quran yang Agung;

"Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Fatir; 2)

"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Yunus; 107)


"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)." (Hud; 6)

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." (at-Talaq; 7)

d) Ketahui hikmah perbezaan rezeki.
e) Banyak memohon qanaah kepada Allah SWT.
f) Menyedari bahawa rezeki tidak diukur dengan kepandaian.
g) Melihat ke bawah dalam kehidupan dunia.
h) Membaca kehidupan salaf.
i) Menyedari beratnya tanggungjawab harta.
j) Melihat realiti bahawa orang fakir dan orang kaya tidak jauh.


Sifat al-Qanaah ini sudah lama kita hayati dan mengamalkannya. Cuma, kadang-kadang ia perlu diperingatkan dan dipesankan dari semasa ke semasa supaya hati kita sentiasa bertaut kepada Allah. Segala sesuatu yang kita peroleh, semua anugerah dariNya.

Mulai dari sekarang, insyaAllah kita akan lebih menghayati sifat al-Qanaah ini dan sebaik-baiknya cuba menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sunday, March 4, 2012

Biar Berlebih, Baru Hati Menjadi Tenang...

Dalam banyak perkara kita hanya buat yang 'basic'. Maksudnya kita hanya ingin 'meet the requirement'. 'No more or no less'.

Kita tidak ingin buat lebih dari apa yang perlu. Kata orang muda hanya 'ngam ngam'. Sebut pasal 'ngam ngam' ni, teringat pula saya kepada seorang sahabat Kedah yang cuba sebut 'ngam ngam' dalam loghat Kelantan.

"Demo wat ngae ngae!", katanya.
"Dalam bahasa Kelantan tiada perkataan 'ngae ngae'", balas saya. "Orang Kelantan sebut ngam ngam ni, samaada 'bo molek' atau 'sedae molek' atau 'bo bo cukup'", sambung saya lagi.


Kalau kita seorang guru, kita hanya mengajar sampai waktu yang diperuntukkan saja. Kalau kita seorang peniaga, kita hanya menimbang barang untuk pelanggan hanya genap-genap aje. Tidak lebih dan tidak kurang walaupun satu hun!
Kalau kita menghadiri majlis walimah atau kenduri kahwin pula, kalau kita seorang kita beri RM10 aje dan kalau bersama keluarga kita hanya beri RM20.
Dalam solatpun sama, kita hanya buat yang wajib aje. Bacaan yang sunat dalam solat kita tinggalkan. Solat sunat nawafil kita kurang lakukan. Apatah lagi solat-solat sunat yang lain... tahajud, hajat, taubat...

Oleh itu, boleh dikatakan kita amat cermat apabila memberi. Apabila kita pula yang menjadi si penerima, kita mengharapkan yang besar-besar aje.

Gaji kita sebagai guru atau pensyarah kita hendak mendapat kenaikan yang berlipat kali ganda. Hasil perniagaan kita, kita mengharapkan keuntungan yang menggunung. Apabila kita membuat walimah, kita mengharapkan orang datang dan memberi sumbangan yang banyak supaya perbelanjaan walimah kita tidak rugi. Apabila kita pergi mengadap menemui Allah, kita begitu mengharapkan anugerah syurgaNya.


Begitulah gelagat kita...

Apa salahnya, mulai hari ini kita tanamkan azam untuk memberi lebih dari biasa. Solat kita, kita tambahkan pula dengan yang sunat-sunat. Bacaannya dan solat sunatnya, kita cuba lebihkan.

Apabila kita menimbang barangan jualan, kita cuba lebihkan satu hun. Apabila kita mengajar, kita tidak berkira sangat jika ada pelajar ingin membuat temujanji untuk lebih memahami apa yang telah kita ajarkan.


Sebenarnya sayapun rasa takut, kalau ingin dikaji balik atau muhasabah tentang masa yang kita diamanahkan untuk bekerja. Penuh ke, 8 jam sehari telah kita berkhidmat? Atau banyak masa telah kita korbankan untuk pergi minum dan sebagainya?

Tetapi apabila saya memikirkan balik masa saya jadi felo dan pengetua dulu. Hati saya menjadi tenang. Sebab apa ye?

Sebabnya ialah sepanjang 11 tahun itu, saya tidak pernah memohon cuti gantian dengan tugasan felo/pengetua yang kebiasaannya jatuh pada hari Sabtu dan Ahad.


Kalau hendak dikira, felo/pengetua layak untuk mendapat gantian cuti kerana mengiringi pelajar ke program khidmat masyarakat, program pembentukan JKM, dan sebagainya.

Jadi, dengan hari-hari yang tidak di'claim' itu, diharapkan dapat menampung lompong-lompong yang ada, insyaAllah.

Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berlebih-lebihan dari segi beramal soleh...