Tuesday, November 15, 2011

Amanah...

Amanah ialah satu sifat yang begitu tinggi nilainya. Orang yang beramanah ialah orang yang diberi kepercayaan dan dia menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipertanggungjawabkan.

Semasa kita kecil dulu, rasanya semasa di bangku sekolah rendah, kita diajar tentang satu hadis yang lebih kurang maksudnya, "Ada 4 sifat yang mana seseorang yang memilikinya itu dikira munafik tulen, dan dia dikira munafik juga jika salah satu daripada keempat-empat sifat tersebut masih ada padanya, iaitu apabila bercakap dia bohong, apabila berjanji dia mungkir, apabila diberi amanah, dia pecah amanah, dan apabila berkelahi, dia melampaui batas".


Amanah yang diberi oleh Allah SWT kepada kita sangat banyak! Amanah keluarga, amanah harta, amanah pekerjaan dan bermacam-macam amanah lagi.

Amanah keluarga bermaksud Allah telah melahirkan zuriat kepada kita yang mana kita perlu menjaga zuriat dan memberi pendidikan Islam kepada mereka. Bukan setakat anak-anak, bahkan isteri juga adalah amanah kepada kita untuk membentuk mereka supaya selari dengan acuan Islam. Kerja kita bukan hanya setakat memberi nafkah semata-mata tetapi lebih dari itu. Makan pakai semua makhluk ciptaan Allah tahu untuk menyara keluarga mereka. Tetapi pendidikan dan penghayatan Islam amat-amat dituntut kepada kita sebagai ketua keluarga.


Amanah harta pula bermaksud kita perlu amanah bagaimana harta diperolehi, cara penyimpanannya, dan perbelanjaannya. Kita perlu pastikan bahawa harta kita diperoleh secara halal. Jangan kita sewenang-wenangnya membelanja harta kita ke jalan yang dimurkai Allah. Mereka yang berhak keatas harta kita perlu kita lunaskan, baik melalui zakat mahupun sedekah.

Amanah pekerjaan pula adalah kita perlu mempastikan pekerjaan kita itu halal, melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin, dan tidak mensia-siakan masa bekerja dengan urusan lain, khasnya urusan peribadi.


Dewasa ini, kita dengar ada beberapa pemimpin negara yang didakwa kurang amanah dari segi menjalankan perniagaan dan menguruskan wang syarikat. Ada yang dikatakan membelanjakan wang RM250 juta untuk 'National Feedlot Corporation' tetapi tidak menepati perniagaan asal iaitu perternakan lembu. Sejumlah wang dibelanjakan untuk membeli kondominium mewah. Ada juga yang didakwa menaiki jet peribadi kawan untuk menunaikan ibadah haji.

Kenapa kita tidak mengurangkan elemen-elemen yang membolehkan orang mempersoalkan kredibiliti kita? Kenapa kita babitkan keluarga kita dalam projek perniagaan kerajaan dan kenapa perlu kita naik jet peribadi kawan untuk mengerjakan haji?


Seelok-eloknya jauhkanlah ruang atau peluang untuk mereka membuat fitnah kepada kita. Rakyat sudah cerdik dan dapat menilai cara hidup pemimpin kita. Sekarang ini bukan macam dulu lagi. Orang sudah pandai mempertikai kelayakan dan kemudahan yang kita ada. Mereka bukan setakat ingin mendengar bahawa kita ini beramanah tetapi mereka juga mahu melihat bahawa kita ini beramanah dengan harta kerajaan! Mereka ingin melihat pemimpin yang 'walk the talk!'

Saturday, November 12, 2011

Kita Orang Melayu Islam Juga Berbeza...

Kalau tidak silap saya, Sayed Qutb pernah berkata, "Bila saya ke Barat, saya nampak syiar Islam tetapi amat kurang penganutnya. Sebaliknya pula, bila saya ke Timur, saya nampak ramai penganut Islam tetapi tiada atau sangat kurang syiar Islam".

Maksud kata-kata itu amat mudah. Di Barat, kelihatan budaya pentingkan masa, membantu mereka yang memerlukan, beratur, menjaga kebersihan, bercakap benar, pemimpin beramanah, dan sebagainya. Inilah ciri-ciri Islam yang diajar oleh Allah dan Rasul.


Di Timur pula, ramai penganut Islam tetapi berkurangan pula ciri-ciri Islam. Cakap selalu tak serupa bikin... Kekotoran merata-rata. Masa kurang dihargai, maksudnya apabila berjanji untuk datang pukul 3 tetapi datang setengah jam atau sejam kemudian. Tidak boleh nampak orang lain senang. Dendam membara, rasuah, dan sebagainya.

Ciri-ciri penghayatan Islam begitu bersinar di Barat tetapi sebaliknya pula di Timur.

Itulah ada kata-kata dari kawan bahawa kalau bangsa lain di Malaysia atau di Timur melihat perangai dan tingkah laku orang Islam, tak mahunya mereka memeluk Islam. Tetapi apa yang membuat mereka memeluk Islam adalah pengajaran Islam itu sendiri. Apabila mereka membaca al-Quran dan al-Hadis, mereka nampak kesyumulan Islam yang hakiki.


Senang cakap, orang Islam rata-ratanya tidak mengamalkan Islam!

Kita disuruh supaya tegakkan Islam dalam diri kita, keluarga kita, kemudian masyarakat, kemudian negara. Dengan berbuat demikian, Islam mudah dihadamkan apabila negara kita berubah menjadi negara Islam. Dengan kata lain, 'approach bottom-up' dan 'up-bottom' digabungjalinkan supaya ia lebih cepat terlaksana.

Islam dan Melayu selalu disinonimkan. Tujuannya ialah supaya sesiapa mudah mengatakan bahawa berjuang untuk Melayu sama juga berjuang untuk Islam. Tetapi hakikatnya berbeza! Tidak semua yang Islam itu Melayu dan perjuangan ini juga bakal menjauhkan orang Islam 'lain' untuk bersama kita.

Pun yang memperjuangkan Melayu, kata mereka tak serupa bikin...


Kelantan merupakan sebuah negeri majoriti penduduknya Melayu tetapi banyak kemudahan dipinggirkan. Kalau itulah landasan kita sepatutnya apa salahnya menyediakan kemudahan-kemudahan yang perlu. Lagipun ini selaras dengan dasar kita yang katanya ingin menolong Melayu.

Katanya sebanyak 118 projek Persekutuan disekat sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991) lagi disebabkan oleh perbezaan ideologi fahaman politik.

Antaranya ialah penyekatan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan yang jelas termaktub di dalam undang-undang.


Malah lebih teruk lagi, kita sanggup memperkayakan negara lain demi untuk tidak memanfaatkan hasil minyak kepada negeri yang tidak bersama kita. Kita sanggup untuk mengalih pendaratan minyak ke luar Kelantan yang hanya jarak 150 km saja berbanding dengan ke Songkla Thailand yang jaraknya 270 km. Biar orang lain kaya, dan jangan orang Melayu kita kaya. Rasakanlah rakyat tempatan, padan muka engkau! Siapa suruh tak sokong kami!

Ini tidak termasuk diskriminasi oleh orang Melayu kepada orang Melayu di peringkat akar umbi seperti menahan projek jalan kampung, bantuan kemiskinan dan lain-lain lagi.


Kesemua ini dilakukan kerana kita mempunyai dasar ideologi yang berbeza. Kita sanggup menyeksa bangsa kita sendiri semata-mata kerana mereka tidak bersama kita.

Ini jelas terbukti bahawa bukan bangsa lain yang menindas, sebaliknya Melayu ditindas dan dilemahkan oleh orang yang sebangsa dengannya, semata-mata kerana kerakusan kuasa dan tidak boleh menerima selain daripada mereka sahaja untuk berkuasa.

Friday, November 4, 2011

Berbeza Pelajar Sekarang Dan Pelajar Dahulu...

Pelajar zaman dulu dan zaman sekarang terlalu amat berbeza...

Sepanjang 16 tahun aku mengajar di IPTA, tidak pernah pelajar tidak menjawab panggilan telefonku (sejak adanya kemudahan handphone). Dan sejak aku mengajar juga, tidak pernah pelajar tidak membalas kembali pesanan ringkas sms ku (juga sejak adanya kemudahan handphone).

Adakah pelajar sekarang semakin 'kurang ajar'?

Pada tahun ini, aku dibekalkan dengan 12 orang pelajar yang aku menjadi penasihat akademik (PA) mereka. Sebelum ini (sebelum aku menyambung pelajaran), aku pernah menjadi PA kepada lebih 30 orang pelajar.


Aku hairan... Aku yang bertungkus lumus mendapatkan peruntukan untuk kem motivasi mereka dan mereka dapat melalui atau menjalani kem ini tanpa bayaran walau satu senpun. Berbanding dengan pelajar-pelajar kursus lain yang terpaksa membelanjakan duit sendiri lebih dari seratus ringgit seorang bagi tujuan yang sama.

Cuma, apa yang aku minta dari mereka ialah untuk menyediakan laporan program. Aku memaklumkan kepada mereka bahawa laporan itu perlu dihantar selepas 2 minggu tamatnya kem motivasi tersebut. Laporan ini perlu untuk aku hantar kepada Ketua Jabatan dan seterusnya kepada Dekan...

Sehingga ke hari ini, tiada laporan dihantar dan panggilan telefonku tidak mereka jawab. Mereka barangkali sudah berada di kampung untuk menyambut kedatangan Eid-ul-Adha. Subhanallah, beginikah perangai lepasan diploma kita?


Kesemua mereka ini adalah lepasan diploma samaada dari UTM KL mahupun dari Politeknik. Aku terkejut dengan perangai dan tingkah laku mereka ini... Cuba bayangkan kalau mereka telah keluar dan bekerja di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta... Betapa malunya kita. Kita gagal mendidik mereka untuk menjadi seorang insan yang bertanggungjawab.

Tulisan ini sekadar meluahkan perasaan dan tiada implikasi sampingan darinya. Ekoran dari ini juga, aku merasakan bahawa kerjaku masih banyak demi membentuk peribadi mereka.

Ada Kaitan Antara Polisi Dan Reaksi...

Polisi universiti yang mementingkan 'journal papers' sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada tugasan sampingan seorang pensyarah.

Kebanyakan pensyarah sudah tidak mahu lagi terlibat dengan mana-mana aktiviti yang tidak meningkatkan markah mereka dalam LPPT (dulu SKT). Buat apa terlibat, kalau 'percentage' yang dinilai amat kecil sekali dan markah tersebut boleh diraih dalam banyak aktiviti lain samaada di luar universiti mahupun dalam universiti.

Hasilnya kerja-kerja sosial dan kebajikan sesebuah organisasi seperti fakulti akan terbiar dan tidak diendahkan.


Sepatutnya Badan Keluarga sesebuah organisasi boleh membantu menaikkan prestasi kerja organisasi tersebut. Jika Badan Keluarga berfungsi dengan baik, banyak nilai-nilai positif akan mewarnai institusi tersebut. Masing-masing saling menghargai, membantu, menyayangi, malah menguatkan tautan silaturrahim sesama staf mahupun di antara satu keluarga dengan keluarga staf yang lain.

Bila ada kelahiran atau kematian, masing-masing memberi penghargaan atau mengucapkan takziah. Begitu juga bila ada perkahwinan atau kenduri yang lain, seluruh masyarakat fakulti akan hadir dan membantu sesama mereka, ibarat aur dengan tebing. Bila ada pencapaian kecemerlangan oleh staf mahupun ahli keluarga mereka, maka diraikan bersama. Natijahnya, keseronokan bekerja sebagai satu pasukan akan meningkatkan prestasi kerja.

Semalam, FGHT telah mengadakan mesyuarat agung untuk memilih AJK baru untuk memegang jawatan dalam Badan Keluarga FGHT. Dari lebih 150 staf yang ada, cuma sekitar 50 orang yang hadir untuk saling tolak menolak supaya orang lain ke depan memegang tanggungjawab! Biar orang lain kena, jangan aku yang kena. Disebabkan budaya yang sebegitu, setengahnya mengambil keputusan untuk tidak hadir bagi mengelakkan diri dari dilantik.


Keluhan ahli sudah lama berbunyi tentang ketiadaan Hari Keluarga fakulti. Mungkin AJK terdahulu menghadapi masalah mendapat komitmen dari setiap ahli untuk menjalankannya.

Itulah bahana apabila kita hanya mementingkan aspek 'ranking' semata-mata. Kalau dulu, ramai orang yang 'volunteer' untuk memegang amanah kerja-kerja amal dan kebajikan. Tetapi apabila penekanan berubah, maka benda-benda yang tidak penting bagi universiti (tetapi penting bagi warga fakulti) demi mencorak alam pekerjaan yang kondusif dan kompetitif, ia menjadi semakin hambar dan luntur.

Sambutan pihak pentadbir fakulti kepada perkara ini juga boleh dinilai oleh mata kasar. Sepatutnya, perlu ada satu slot dimana pihak pentadbir menghargai ajk yang lalu dan melantik ajk baru dalam satu suasana yang memberi mereka perangsang atau setidak-tidaknya membuat mereka perasan bahawa usaha kerdil mereka dihargai... Setidaknya kalau tiada buah tangan seperti sebatang pen, surat penghargaan yang ditandatangani oleh dekanpun sudah memadai.


Itulah... di peringkat universiti mahukan penghasilan 'journal papers', maka di peringkat fakultipun sama...'journal papers'. Yang lain-lain sudah tidak relevan dan sesetengah bertanggapan hanya membuang masa.

Kalau kita boleh fikirkan kembali cara kita memberi markah kepada aktiviti-aktiviti lain selain menghasilkan 'journal papers', sudah pasti ia mampu menarik minat golongan pensyarah untuk turut sama menyumbang ke arah kesejahteraan ummah. Kalau tidak, semua generasi akademik yang baru akan bermati-matian mengusahakan apa yang hanya menjadi perhatian pihak atasan.

Kerja-kerja kebajikan dan sosial akan ditinggalkan dan akhirnya sistem kekeluargaan sesebuah badan kerajaan akan menjadi seperti kata pepatah, 'hidup segan mati tak mahu'!