Saturday, December 24, 2011

'Final Examination'

Semester 1 Sesi 2011/2012 beransur tamat. Pelajar-pelajar akan memulakan 'study week' mereka pada 29 Disember sehingga Peperiksaan Akhir bermula pada 3 Januari 2012. Peperiksaan Akhir untuk Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT) akan berlangsung sehingga 18 Januari 2012.

Untuk pelajar-pelajar tahun akhir yang membuat Projek Sarjana Muda I (PSM I), viva mereka akan berlangsung dari 28 hingga 30 Disember 2011. Banyak cetusan rasa atau keluhan hati dari mereka. Ada yang saya baca dalam 'facebook' mengatakan bahawa debaran hati untuk menghantar dan menjalani viva PSM I seperti berdebar menanti orang masuk meminangnya!


Itulah hakikat apabila kita akan menempuh ujian terbesar dalam kehidupan... Hati berdebar, rasa takut, rasa gementar, rasa serba salah, rasa tak cukup 'preparation', dan bermacam-macam rasa lagi. Semuanya menghantui fikiran dan mengecutkan perut!

Tak kurang pula pelajar-pelajar saya mengharapkan 'tips' dari saya atau mereka panggil 'clue' supaya saya membayangkan kepada mereka bentuk-bentuk soalan yang akan keluar. Dengan adanya bayangan-bayangan soalan akan membuatkan mereka lebih bersedia untuk menghadapi Peperiksaan Akhir.


'Peperiksaan Akhir' kita yang sebenar tidak kurang juga menakutkan! Kita telah diberi banyak soalan-soalan bocor supaya kita bersedia apabila kita menghadapinya kelak.

Kita disuruh beriman dengan Rabbul Jalil; beriman dengan kitab-kitab al-Quran, Injil, Taurat, Zabur; beriman dengan malaikat-malaikat; beriman dengan nabi dan rasul; beriman dengan yaumul mahsyar; dan beriman dengan Qadha' dan Qadar.

Kita disuruh pula untuk menunaikan rukun-rukun Islam; mengucap dua kalimah syahadah; mengerjakan solat, melakukan puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji bagi mereka yang mampu.


Kita diceritakan dalam al-Quran, gambaran mereka yang tidak beriman. Mereka disiksa di dalam neraka dan ada yang menyesal dan meminta untuk dikembalikan ke dunia walau seketika. Tujuannya adalah untuk membuat amal soleh! Tetapi semuanya sudah terlambat...

Soalan bocor juga diberikan tentang pengalaman pahit di alam barzakh sementara menunggu manusia dibangkitkan semula. Ada yang terhimpit dan tersepit sehingga berselisih tulang rusuk atau tulang dada. Ada yang luas selesa dan diterangi cahaya!

Kita juga diterangkan tentang kehidupan di sini hanya sementara dan akhirat jua kekal selamanya... Kita berusaha di sini untuk mencari bekal ke akhirat sana.


Tetapi sebaliknya, kita mencari rezeki di sini seolah-olah kita tidak akan ke sana! Kita kumpul segala harta, tak kira haram atau halal. Kita bina mahligai indah, seakan-akan itulah kediaman kita buat selamanya...

Soalan-soalan dan jawapan-jawapan telah lama diberitahu... tetapi kita alpa kerana kita sentiasa merasakan ajal lambat lagi tiba. Kawan sebaya kita meninggal, jiran dan rakan taulan kita mati, tetapi kita tetap merasakan maut masih jauh buat kita...
Hati kita berkata, "Itu orang lain, aku belum... masa masih panjang!"


Alangkah cantiknya jika kita berusaha dan bekerja bukan setakat inginkan habuan dunia tetapi bermatlamatkan akhirat, negara yang kekal abadi. Carilah rezeki sebanyak-banyaknya tetapi mesti ada nilai tambah! Rezekinya halal dan dibersihkan dengan zakat dan sedekah...

Jangan abaikan suruhan Allah dan jauhilah segala laranganNYa... Dengan itu, kita akan dikenali sebagai insan yang berwawasan!

Wawasan kita adalah mengjangkau wawasan 2020... dan ia dikenali sebagai Wawasan Akhirat!

No comments:

Post a Comment