Monday, January 25, 2010

Mempunyai Anak 'Istimewa'


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT jika kita mempunyai anak-anak yang cukup sifat, lengkap fizikal dan mentalnya. Setiap ibubapa sentiasa berdoa apabila siibu mula mengandung supaya Allah mengurniakan anak yang soleh dan solehah disamping sempurna kejadiannya. Siibu saban malam membaca surah Maryam disamping bacaan Al-Quran harian yang telah menjadi darah dagingnya.

Di saat kelahiran maka terzahirlah rezeki yang Allah kurniakan itu, adakah anak kita mempunyai segala anggota badan yang sempurna? Pun begitu, kadang-kadang apabila anak makin membesar maka kita dapat mengenalpasti kekurangan yang ada kepada anak tersebut.

Sebagai ibubapa, mereka tidak membezakan anak yang sempurna mahupun anak yang 'istimewa'. Semuanya ditatang bagai minyak yang penuh!

Setengah daripada kita merasa malu mempunyai anak 'istimewa'. Mempunyai anak 'istimewa' memberi banyak cabaran kepada ibubapa dan ibubapa seharusnya redha dan banyak bersabar! Ini adalah ujian Allah kepada kita...

Teringat saya lagu The Revolvers, "Namun Ku Punya Hati";

Senyum ku tak seghairah
gerak gaya tidak selincah
mata ku tak seayu
kicau burung pun tak semerdu
namun ku punya hati
juga gaya ku perasaan
hidup ku yg begini
kadar waktu di izin Tuhan
tidak ku pinta lahir ke dunia
tidak ku duga cacat begini
bukan ku minta kasih dan sayang
bukan ku rayu bantu simpati
maafkan wahai teman
ku menumpang di sudut dunia
mencari ketenangan
sampai masa ku pergi jua.............

Begitulah senikata lagu tersebut. Kadang-kadang, berat mata memandang tetapi berat lagi bahu memikul...

Kepada yang mempunyai anak 'istimewa', saya sarankan supaya saudara membuat pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Banyak kemudahan yang disediakan kepada anak 'istimewa' atau orang kurang upaya (OKU). Bantuan-bantuan yang disediakan adalah seperti bantuan alat tiruan, elaun pekerja kurang upaya, skim bantuan pelancaran, kursus-kursus, kemudahan perumahan, kemudahan pengangkutan awam, pelepasan cukai, dan banyak lagi.

Sekurang-kurangnya apabila kita mempunyai Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya, kita diberi potongan perkhidmatan telefon. Maksud saya sewa bulanan talian telefon rumah hanya dikenakan RM1 sebulan. Sekiranya kita ingin membawa anak OKU kita ke luar negara, tiada caj dikenakan untuk membuat pasport. Dan banyak lagi kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh pihak kerajaan...

No comments:

Post a Comment