Monday, January 4, 2010

Bersedekah Sambil Menyakiti Perasaan Penerima?

Saya sedang membaca buku bertajuk "Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya", tulisan Muhammad Muhyidin. Buku asal yang ditulis dalam Bahasa Indonesia telah dialihbahasakan oleh PTS Millennia dan menjadi 'bestseller'.

Buku ini dipaparkan dengan penulisan yang baik, terasa seronok membacanya! Disamping 'quotation' ayat-ayat Al-Quran, penulis juga memetik kata-kata tersohor dari George Bernard Shaw, Leo Tolstoy, Lord Chesterfield dan lain-lain.

Saya ingin berkongsi dengan tuan/puan penulisan Ustaz Muhammad pada muka surat 47-48;

Saya sering bertemu dengan orang yang memberi wang kepada orang lain sambil mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar. Antaranya adalah:

*"Nah, ambillah!"
*"Ikhlas ataupun tidak ikhlas, itu urusan saya, kamu mahu wang ataupun tidak?"
*"Ambil wang ini dan pergi!"
*"Asyik datang ke sini saja. Baiklah, saya kasihan kepada kamu, tetapi selepas ini jangan datang lagi!"
*"Gunakan wang ini untuk perkara baik, bukan untuk perkara bodoh."

Bayangkan sekiranya kita yang menerima wang daripada orang yang mengeluarkan kata-kata di atas. Bukankah kita berasa sesak dada? Kita mungkin berfikir, "Saya memang perlukan bantuan saudara. Tetapi mengapa saudara memperlakukan saya seperti ini? Saya juga manusia seperti saudara. Saudara mampu memberi sedangkan saya hanya mampu menerima. Saudara memang memberikan sesuatu yang berharga untuk kehidupan saya. Namun saudara juga memberikan sesuatu yang melukai jiwa saya yang sedang berjuang bertahan hidup. Memang, ikhlas ataupun tidak, itu urusan saudara, bukan urusan saya."

"Dengan kata-kata itu, saudara menunjukkan nilai ketidakikhlasan dalam pemberian. Sudahlah tidak ikhlas, saudara menyakiti pula hati saya dengan mengatakan adakah saya mahu ataupun tidak menerima pemberian saudara. Tidak adakah sedikit pun perasaan kasih sayang saudara dalam membantu saya? Saudara tahu saya memerlukan bantuan saudara tetapi saudara masih bertanya begitu. Apakah salah saya kepada saudara hingga saudara menjadikan saya sedih dan menangis? Baik, saya akan segera pergi dari sini tetapi saya pergi dengan hati yang terluka dengan sikap dan kata-kata saudara. Saya tetap menerima pemberian saudara tetapi saya tidak mendoakan kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan saudara!"

Sama ada secara sengaja ataupun tidak, kita sering menghukum orang yang kita bantu dengan kata-kata dan sikap kita. Kita membunuh perasaan orang lain. Kita menindas harga diri orang lain dan memijak kemuliaannya. Kita tempatkan orang lain dalam kedudukan yang serendah-rendahnya. Kita sakiti hati, perasaan dan fikiran orang lain.

No comments:

Post a Comment